Kitaran hidup Chrysemys

Mengawan

Kura-kura Berwarna Selatan (jantan) dengan kuku kaki depannya yang panjangKura-kura Berwarna betina

Kura-kura Berwarna mengawan pada musim bunga dan luruh di dalam air yang bersuhu sekitar 10–25 °C (50–77 °F).[43] Kura-kura jantan mula menghasilkan sperma bermula awal musim bunga, dalam suhu sekitar 17 °C (63 °F) semasa ia berjemur.[44][45] Manakala kura-kura betina memulakan kitaran pembiakannya pada pertengahan musim panas dan berovulasi pada musim bunga.[46]

Kura-kura jantan memikat kura-kura betina dan mengikutnya sehinggalah mereka menghadap antara satu sama lain.[47] Kura-kura jantan kemudiannya mengibas mukanya berkali-kali dengan kuku kaki depannya yang panjang, hinggalah perlakuannya diterima dan difahami oleh kura-kura betina. Kemudian, kura-kura betina akan mengajak kura-kura jantan masuk ke dalam air, bagi melakukan proses mengawan.[46][47] Disebabkan saiz kura-kura jantan yang lebih kecil, ia tidak bersifat dominan.[47] Kura-kura betina mampu menyimpan sperma jantan di dalam kantung oviduktusnya; dan menghasilkan telur dari sperma yang sama dalam tempoh tiga tahun.[48] Kura-kura betina boleh mengawan dengan beberapa ekor kura-kura jantan, jadi setiap penetasan telurnya mungkin dari bapa yang berlainan.[48]

Bertelur

Kura-kura betina mula mencari kawasan untuk membina sarang telurnya bermula akhir bulan Mei dan pertengahan Julai.[46] Sarang yang dikorek adalah jenis tanah yang berpasir.[49] Biasanya dalam lingkungan 200m hinggalah 600m dari kawasan berair. Saiz setiap sarang berbeza mengikut saiz kura-kura betina dan lokasinya, namun ia sekitar 5–11 cm (2–4 in) dalam.[49] Kura-kura betina mungkin akan kembali ke tempat sarang yang pernah dibinanya dahulu. Jika sarang yang dibina terlalu hampir dengan sarang kura-kura betina lain, maka telur-telurnya mungkin terdedah kepada pemangsa.[49]

Kura-kura betina sedang mengorek sarang

Suhu badan yang optimal bagi kura-kura betina bertelur adalah sekitar 29–30 °C (84–86 °F).[49] Jika suhu dan cuaca yang tidak sesuai, sama ada terlalu panas atau sejuk, mereka akan menangguh proses bertelur sehinggalah malam.[49] Terdapat laporan menyatakan bahawa Kura-kura Berwarna di Virginia menunggu sehingga tiga minggu untuk bertelur disebabkan cuaca terlalu panas dan kemarau.[50]

Kura-kura betina akan menekan-nekan tanah menggunakan kepalanya untuk memastikan kesesuaian tanah bagi pembinaan sarang. Ada juga yang sengaja menangguhkan masa dengan mengorek lubang-lubang palsu [49] seperti yang dilakukan oleh Kura-kura Kayu.[51]

Mereka membasahkan kawasan yang dikorek menggunakan air dari pundi kencing untuk memudahkan penggalian.[49] Lubang akan dikambus semula selepas telur-telur habis dikeluarkan. Telur yang sihat adalah berwarna putih, poros (mudah ditembusi air) dan fleksibel.[52] Keseluruhan proses ini mengambil masa selama empat jam. Kadangkala sehingga semalaman, sebelum ia kembali semula ke dalam air.[49]

Kura-kura betina mampu menghasilkan sehingga lima kali penetasan setahun.[49] Terdapat juga populasi kura-kura di utara yang menghasilkan sekali penetasan setahun.[49] Saiz kura-kura yang lebih besar mampu menghasilkan lebih banyak telur.[53] Jumlah telur berbeza mengikut subspesies, Kura-kura Berwarna Barat dan Pertengahan, masing-masing menghasilkan 11.9 dan 7.6 biji, berbanding Kura-kura Berwarna Selatan dan Timur, iaitu masing-masing 4.2 dan 4.9 biji. Kura-kura dari utara cenderung menghasilkan jumlah telur yang lebih banyak.[49]

Pertumbuhan

Proses pengeraman bertahan selama 72–80 hari sama ada pada persekitaran liar[46] ataupun persekitaran yang dikawal (bela).[50] Pada bulan Ogos dan September, anak kura-kura mula keluar dan memecahkan cangkerang telur menggunakan gigi kecilnya.[54] Tidak semua anak kura-kura akan meninggalkan sarang.[46] Terutamanya populasi anak kura-kura dari bahagian utara (merangkumi Nebraska, utara Illinois dan New Jersey),[55] mereka akan berkumpul secara simetri [56] menunggu sehingga habis musim sejuk di dalam sarangnya dan kemudian keluar pada musim bunga.[46]

Anak Kura-kura Berwarna

Populasi kura-kura di bahagian utara mampu menahan suhu sejuk yang melampau di kawasan berkenaan.[55] Walau bagaimanapun, kebolehan ini tidak ada pada anak kura-kura yang masih kecil dan terlalu muda.[46]

Selepas menetas, anak kura-kura bergantung sepenuhnya kepada kuning telur di perutnya sebagai sumber zat makanan.[56] Mereka mula mencari makanan selepas seminggu. Anak kura-kura cepat membesar terutamanya pada tahun pertama menetas, kadangkala saiznya mencecah dua kali ganda pada tahun yang sama. Pertumbuhannya terhenti apabila tiba peringkat matang seksual.[57] Walau bagaimanapun, Kura-kura Berwarna Barat lebih cepat membesar.[58]

Kura-kura betina lebih cepat bertumbuh dan membesar berbanding jantan.[57] Kebanyakan jantan mencapai peringkat matang seksual sekitar 2–4 tahun, dan betina sekitar 6–10 tahun.[45] Saiz dan kematangan berbeza mengikut tempat;[19] populasi kura-kura jantan di utara mencapai kematangan sekitar 7–9 tahun manakala betina pula 11–16 tahun.[47]

Rujukan

WikiPedia: Chrysemys http://blog.conservancy.bc.ca/2010/08/protecting-t... http://www.env.gov.bc.ca/okanagan/esd/atlas/specie... http://www.hat.bc.ca/stewardship-projects/stewards... http://www.cbc.ca/news/canada/saskatchewan/record-... http://cfs.nrcan.gc.ca/subsite/glfc-amphibians/chr... http://dsp-psd.pwgsc.gc.ca/Collection/CW69-14-505-... http://www.sararegistry.gc.ca/species/speciesDetai... http://www.sararegistry.gc.ca/species/speciesDetai... http://www.boissevainrecorder.mb.ca/placed%20news/... http://museum.gov.ns.ca/amphibians/en/turtles/pain...